Sunday, 21 September 2014

Perkongsian sesama insan....

Dalam salah satu slot Usrati di radio baru-baru ini yang membincangkan tentang kepentingan Ibadah dalam kekeluargaan. Terlalu banyak ilmu yang dipelajari, jika hendak diikut hati hendak dicatitkan kesemuanya. Tetapi di sini diambil satu sahaja perkara mudah yang dianggap cukup bermanfaat kepada kita semua yang bergelar Insan yang di sampaikan oleh seorang Ustazah di slot tersebut. Sama-samalah kita kongsi-mengongsi manfaat tersebut.

Terdapat satu doa yang mudah, pendek, cepat serta selalu dipraktikan oleh setiap yang bergelar insan, dan ianya juga amat baik untuk diamalkan oleh Ibubapa kepada anak-anaknya atau sebaliknya yang mungkin terlepas pandang akan kemanfaatannya.

Doa tersebut ialah Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh Ya...(sebutkan nama penuh anak). (Contoh: Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh Ya Lukman Hakimi)

Mudahkan doanya, rasanya saya pun terlepas pandang, terlalulah sangat kita terlepas pandang akan keistimewaannya. Mari kita teliti sedikit mengapa doa ringkas ini terlalu istimewa terutama kepada anak-anak.

Pertama sekali, Ibubapa perlu menjiwai doa tersebut dengan mendalam semasa hendak diucapkan kepada si anak. Kenapa? Kerana maksud yang terkandung di dalam doa tersebut sangatlah membantu dalam kehidupan seharian anak-anak. Pada kebiasaannya kita hanya sebut Assalamualaikum sahaja kan, termasuklah saya. Selepas mendengarkan penjelasan dari Ustazah itu, saya cuba ingin mengucapkannya dengan penuh kepada anak-anak... Assalamualaikum warahmatullahiwabaratuh dengan cuba menjiwai setiap ungkapan yang diucapkan. Kenapa istimewa? Jom kita teliti akan maknanya yang tersirat disebalik ungkapan tersebut setakat mana yang sempat diambil semasa siaran. Mohon sahabat-sahabat di luar disana yang mengikuti slot tersebut tambah mana-mana yang mungkin tertinggal.

ASSALAM : SEJAHTERA

Daripada permulaan lagi kita sudah mengucapkan segala kebaikan untuk anak kita pada hari itu. Kita mendoakan akan kesejahteraan buat dirinya pada ketika itu. Kerana itulah kita perlu sebutkan nama anak sekali ketika mengungkapkannya.

WARAHMATULLAH : RAHMAT ALLAH

Seterusnya kita mengharapkan rahmat dari Allah menjadi bekalan untuk anak-anak kita dalam kehidupan seharian mereka. Bukankah rahmat itulah yang sangat-sangat kita semua harapkan?

WABARAKATUH : BERIKAN BERKAT KEPADANYA WAHAI ALLAH

Kita juga mendoakan anak-anak kita diberi keberkatan oleh Allah dalam setiap amalannya, perbuatannya atau apa saja yang berkaitan dengannya, kita mahukan agar diberikan keberkatan untuknya.

Jelaslah saya pada hari itu dan 'terbukalah' mata saya betapa bermaknanya ungkapan doa yang cukup ringkas tersebut itu untuk anak-anak.

Menurut Ustazah itu lagi, waktu yang paling baik untuk mengucapkannya buat si anak kesayangan adalah ketika mengejutkan dia bangun dari tidur. bayangkanlah, celik-celik matanya sahaja pada permulaan hari sudah memperolehi doa yang cukup bermakna dan cukup indah dari Ibu atau ayah untuk dirinya pada hari itu. Selain itu, mungkin juga boleh diamalkan waktu menghantar atau menjemput anak-anak dari sekolah, atau pun bila-bila masa sahaja ibu dan ayah ingin mengucapkannya kepada anak-anak.

Jiwailah salam dan doa tersebut, serta hayatilah setiap rangkai maksudnya. Tujukanlah dengan penuh kasih sayang dan cinta buat si anak. Senyumlah dengan penuh kasih sayang ketika mengucapkannya.

Semoga anak-anak kita senantiasa sejahtera, dalam rahmat Allah dan senantiasa diberikan keberkatan dalam kehidupan seharian mereka oleh Allah.

Doa yang sama juga boleh kita ucapkan kepada kenalan-kenalan apabila memberi salam. InsyaAllah.

Mohon maaf segala kekurangan, salah silap harap diberi teguran, sama-samalah kita berkongsi kearah kebaikan. Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari diri saya sendiri.